Wednesday, 25 February 2015

Konsep Transformasi

 Konsep Transformasi

Definisi transformasi menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) membawa maksud  perubahan bentuk seperti sifat, rupa dan keadaan atau dengan erti kata lain transformasi merupakan satu perubahan daripada keadaan sedia ada kepada satu dimensi lain bertujuan untuk mengubah bentuk sesuatu kepada yang lebih baik bagi meningkatkan kualiti dan pencapaian (Artikel Pendidikan: Utusan Malaysia). Ringkasnya, transformasi juga lebih mudah difahami sebagai satu bentuk perubahan ke arah kebaikan.
Terdapat pelbagai pendapat yang dikemukakan oleh tokoh yang berkait rapat dengan istilah transformasi atau perubahan. Istilah perubahan menurut Stoner (1989) di dalam Aini Hayati Mohamed (2001) mentakrifkan perubahan sebagai proses transformasi yang berlaku kepada organisasi sama ada dirancang ataupun tidak. Manakala menurut Jaafar Muhammad (1999) perubahan diperkenalkan hasil daripada pengubahsuaian kelakuan yang lepas menyesuaikan dengan situasi baru.
            Antara pendapat lain berkenaan transformasi ialah sebagaimana yang dikemukakan oleh Mumtaz Began dan rakan-rakan (2002) yang melihat perubahan sebagai suatu bentuk peralihan daripada satu dimensi yang dapat diramalkan kepada dimensi yang lebih baik atau lebih sesuai dengan persekitaran sesuatu masyarakat. Perubahan yang berlaku ini juga mungkin merangkumi pelbagai aspek penting.

2.2  Konsep Kurikulum

Kurikulum pada dasarnya berasal daripada perkataan curere yang merupakan perkataan latin yang membawa maksud jejak atau laluan. Selain itu, kurikulum dalam bahasa inggeris memberi maksud jelmaan. Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) mentakrifkan kurikulum sebagai skop dan isi kandungan sesuatu mata pelajaran di sekolah, senarai kesemua mata pelajaran (kursus pengajian) di sekolah dan institusi pendidikan.
            Terdapat pelbagai definisi terhadap istilah kurikulum yang dinyatakan oleh pakar-pakar dan pengkaji. Sesetengah pengkaji berpendapat kurikulum merupakan satu pengalaman. Menurut Neagly dan Evans dalam Kamaruddin Hj. Husin dan rakan-rakan (2004) kurikulum ialah semua pengalaman yang dirancang dan dikemukakan oleh pihak sekolah yang bertujuan untuk membimbing murid memperoleh hasil pembelajaran yang telah ditetapkan mengikut keupayaan masing-masing.

Menurut pendapat Ishak Ramly (2003), kurikulum merangkumi semua pengalaman yang didapati di dalam dan di luar sekolah dan perkara yang diajarkan di sekolah dan bilik darjah. Beliau turut mengelaskan kurikulum kepada tiga bahagian iaitu kurikulum sebagai program yang dirancang dan dilaksanakan di sekolah, kurikulum sebagai program yang dirancang dan dilaksanakan secara praktikal di dalam kelas serta kurikulum adalah pengisian sepanjang hayat bagi membudayakan ilmu dan pengalaman individu ataupun berkumpulan.

Kurikulum juga turut dinyatakan sebagai pelajaran yang formal dan pelajaran yang tidak formal oleh Hargreaves dalam Hansen et al. (2002). Pelajaran formal merangkumi kurikulum yang telah ditetapkan matlamat serta rancangan oleh kementerian, kurikulum yang dilaksanakan (berkaitan dengan cara bagaimana guru menterjemahkan kurikulum yang dihasratkan kepada amalan, aktiviti dan susunan) dan kurikulum yang tercapai atau yang diterima, yakni apa yang pelajar sebenarnya capai melalui pengalaman pendidikan. Manakala pelajaran yang tidak formal merujuk kepada kurikulum terpendam yakni pendidikan secara tidak langsung yang berlaku apabila belajar mengenai kuasa, pujian dan manusia.

Rumusannya, tafsiran kurikulum merangkumi skop yang sangat luas berdasarkan kepelbagaian definisi yang telah dinyatakan. Kurikulum merangkumi kesemua aspek pengalaman pembelajaran yang diperolehi oleh murid secara formal atau tidak formal dan memberi kesan terhadap perkembangan jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek setiap murid. 
 







No comments:

Post a Comment